Di keheningan fajar ini, aku rasakan seluruh tubuh dan jiwaku berada dalam situasi yang damai dan menenangkan. Selama ini tidak pernah sekelumitpun ku rasakan perasaan seindah ini.
Terima kasih Allah, kerana Engkau masih memberi ruang kepada hambaMu yang sangat hina ini untuk menikmati perasaan ini. Saat inilah baru aku tersedar bahawa diriku ini sangat mencintai dan merinduiMu.
Saat ini baru ku rasakan betapa nikmat dan manisnya cinta dan rindu kepadaMu. Baru kini ku merasakan hebatnya kuasa cinta ini, Ya Allah.
Syukur padaMu ya Allah kerana Engkau telah memilih diri ini untuk menerima hidayah dan cintaMu. Sesungguhnya aku benar-benar menyedari betapa hinanya aku pada pandanganMu.
Betapa dosaku maha luas meliputi ruang langit dan bumi. Kosongnya amalanku ini untukku persembahkan kepadaMu nanti. Terlalu banyak sifat mazmumah dalam diriku sehinggakan tidak mampu ku perhitungkan lagi. Kerasnya hatiku sehingga hidayahMu sukar untukku menerimanya. Ku tahu tiada nilaianku di sisiMu, ya Allah.
Namun sesungguhnya, Engkau Maha Pengasih ya Allah. Engkau masih memberi peluang kepada diriku ini untuk melakukan transformasi diri. RahmatMu maha luas ya Allah. Syukur yang tidak terhingga ku panjatkan kepadaMu.
Di kesunyian fajar ini, air mataku laju menuruni terataknya membasahi sejadahku lagi. Kesilapan lampau terbayang-bayang mengisi ruang ingatan satu persatu. Episod silam membawaku ke lembah kehinaan yang membuatkan aku digelumangi debu-debu dosa.
Betapa menyesalnya aku ya Allah. Kenapa selama ini aku leka dan lalai? Kenapa selama ini hatiku buta ya Allah. Terlalu banyak masa yang telah aku persia-siakan. Selama ini aku mempermainkan taubat kepadaMu ya Allah. Selama ini ibadatku bukanlah untukMu ya Allah, tetapi kerana sifat menunjuk-nunjuk dan riak yang hadir dalam diriku. Aku terlalu menyesal ya Allah.
Aku pohon kepadaMu ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk melakukan hijrah ini. Aku ingin berhijrah ya Allah, hijrah keranaMu. Bukanlah hijrah kerana manusia, bukan juga hijrah untuk mendapatkan dunia tapi hijrah yang sebenar-benarnya.
Aku ingin berhijrah untuk mendapatkan cinta dan redhaMu. Sambutlah cinta dan rinduku ini ya Allah. Akan ku tatang hidayahMu ini dengan ilmu. Ilmu yang akan aku manfaatkan untuk memperbaiki hati dan diriku, yang dapat memberi cahaya kepada jiwa dan hidupku.
Ilmu yang akan aku persembahkan untukMu adalah ilmu yang akan membawa diriku menuju cintaMu. Ilmu yang dapat menjadikan hatiku ini lembut dan syahdu. Ilmu yang dapat mengubah seluruh kehidupanku. Kurniakanlah kepadaku ilmu yang dapat membuat diriku semakin mencintaiMu ya Allah.
Semoga kita digolongkan dalam golongan manusia yang dipilih Allah untuk menerima hidayahNya. Betapa bertuahnya kita seandainya dipilih. Membuktikan betapa luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. Lihatlah betapa kerdilnya kita di muka bumi ini, tetapi sayangnya dalam kalangan kita masih ada manusia yang sombong.
Marilah kita sama-sama melakukan hijrah diri. Hijrah yang dapat mengubah hati dan jiwa kita. Hijrah yang dapat meruntuhkan keegoan dan sikap takbur manusia . Hijrah yang dapat meruntuhkan hati dan jiwa yang keras. Hijrah yang memberi kesedaran kepada kita bahawa segala yang kita lakukan di dunia ini adalah semata-mata untuk mendapatkan cinta dan redha Allah.
Lakukanlah hijrah diri ini ketika kita masih mampu melakukan amal ibadat. Lakukan hijrah tatkala Allah memberi kelapangan masa dan kesihatan kepada kita. Lakukan hijrah diri ini ketika diri masih diberi peluang. Lakukan hijrah diri ketika diri masih muda. Lakukan hijrah diri ini tatkala nyawa kita masih belum sampai di halkum. Kelak, jika hijrah diri ini tidak disambut, kitalah manusia yang paling rugi dan paling malang di dunia dan di akhirat. Marilah kita berhijrah bersama-sama.
0 comments:
Post a Comment